Thursday 1 May 2014

Salam Perkenalan


Assalammualaikum,

Salam perkenalan buat semua. Saya adalah wanita biasa yang begitu kepingin menjadi luar biasa. Seorang isteri kepada sang suami yang begitu bertanggungjawab dan penyabar. Seorang ibu kepada 3 puteri dan 1 putera yang pelbagai ragam dan kerenah. Seorang anak kepada ibu bapa yang hebat dan mengagumkan. Saya Maslinda Noor @ Elin @ Along @ Kak Long @ Linda @ Mas (banyak sangat nama samarannya, sukalah nak panggil yang mana satu)  berusia 36 tahun mendambakan keluarga yang bahagia dan berjaya di dunia dan akhirat. Moga diperkenankan oleh-NYA, AMIN.

Bergelar surirumahtangga bukan bermakna boleh goyang kaki sambil minum kopi, bersantai-santai depan tv apalagi bermalas-malasan di birai katil. Tidak sama sekali! Jadual saya sangat padat hinggakan tiada masa untuk diri sendiri. Seawal 4.30pagi, saya sudahpun memulakan rutin harian saya, menyediakan sarapan pagi. Anak sulung dan anak kedua saya ke sekolah menaiki bas awam seawal 6pagi. Anak ketiga yang berusia 6tahun, saya hantar pada pukul 7pagi. Sesampai di rumah Adam Haziq perlu ditidurkan (kalau tidak tak boleh buat kerja). Lelap sahaja si kecil macam lipas kudung terus memasak untuk makan tengahari. Itu yang paling utama sebab anak-anak balik sekolah nak makan. Kerja-kerja lain saya tunda dahulu. Adam bangun kenalah bagi makan dan mandi sebab 11.30pagi nak ambik si kakak yang baru pra sekolah. Balik rumah sambung kerja yang tertunggak sebab 12.50tengahari nak jemput si kakak yang kedua. Selesai anak-anak makan, hantar si kakak tadi ke sekolah agama pada pukul 2.30petang. Masa inilah saya selesaikan segala urusan yang terbengkalai. 5.30petang ambil anak sulung dan anak kedua 6petang. Malam masih berkisar tentang kerja-kerja di rumah, melipat kain, mengemas dapur dan sebagainya. Waktu malam juga masa untuk memantau kerja sekolah anak-anak. Saya akan curi masa tidur saya sedikit untuk bersantai di alam maya ini atau membaca novel sambil minum secawan nescafe panas. Segala penat lelah dan sakit-sakit badan akibat mengusung beg tangan seberat 9.4kg (Adam Haziq la..) hilang begitu saya. Saya memang peminat segala jenis kopi.

Kenapa berblog? Walhal saya bukanlah wanita IT yang serba tahu. Hidup saya hanya berkisar tentang keluarga. Segala suka duka dan rentetan hati hanya terbuku di hati. Tidak pernah terluah walau ada ketikanya amat membebankan. Pelbagai masalah dan dugaan datang silih berganti. Terutama sekali masalah ekonomi keluarga yang sering pasang surut. Anak-anak makin membesar bermakna makin besarlah keperluan dan kehendak mereka walhal gaji suami tetap ditakuk yang lama, tak membesar pun. Terniat dan terfikir untuk membantu saya  cuba mencari jalan agar dapat menambah pendapatan tanpa perlu meninggalkan anak-anak untuk bekerja.

Alhamdulillah, ALLAH perkenankan doa saya. Dibukakan peluang buat saya dan dipermudahkan jalannya. Saya ditemukan dengan Zaila Mohamad yang kini banyak memberi tunjuk ajar. Dialah yang menyuntik semangat saya agar berusaha untuk mencapai apa yang diingini, terima kasih sifu. Sebagai langkah pertama saya diberikan eBook dan saya perlu mengkhatamkannya. Dua hari jugalah saya ambil masa untuk membacanya, maklumlah bacaan kerap sangat terhenti  dek kerana si Adam Haziq anak saya yang berumur 1 tahun yang sering mengganggu gugat fokus saya. Bila dah khatam terciptalah blog yang seadanya ini. Kata sifu blog itu penting untuk memperkenalkan diri sekaligus memasarkan produk.

Dapatkah saya capai matlamat dan impian saya? Soalan itu saya tujukan pada diri saya sendiri. Ya, sudah tentu boleh kalau saya berusaha, bukankah usaha itu tangga kejayaan. Dan sekarang ini pun saya sedang berusaha membina blog ini. Usaha ini akan saya teruskan bukan sekadar untuk menjana pendapatan malah akan saya gunakan untuk menimba ilmu dan mengeratkan hubungan sesama manusia walau sekadar di alam maya. Harapan saya setinggi gunung, membantu suami, anak-anak, ibu bapa dan sekaligus membantu diri saya sendiri. Ya Allah, permudahkanlah jalanku. Amin.


No comments:

Post a Comment