Assalammualaikum,
Di sini ingin saya kongsikan secebis pengalaman buat tatapan semua. Kehadiran seorang putera dalam keluarga kami amatlah dinanti. Setelah dikurniakan 3orang puteri tidak sabar rasanya nak menyambut kelahiran sang putera. Walau masih tidak mengetahui status jantina aku nekad mencari nama anak lelaki. Saya sukakan nama Haziq, bermakna yang cerdik pandai. Dek kerana semasa mengandung saya gemar menonton drama bersiri Adam & Hawa maka terpahatlah nama Adam.
Kandungan kali ini berbeza dengan yang sebelum-sebelumnya. Saya sentiasa letih dan suka bermalas-malasan. Makan pula tak henti-henti, boleh dikatakan mulut sentiasa mengunyah. Segala jenis makanan saya bedal sebab alahan pada makanan memang tiada. Kopi tetap menjadi pilihan walau ramai yang kata jangan minum kopi nanti kulit anak gelap macam kopi. Betulkah? Entahlah, bukan kuasa saya menentukan, saya teruskan dengan kopi saya bila saya rasakan perlu. Saya juga gemar menonton filem-filem Tamil(bukan Hindi tau) di saluran Astro 201, 202 & 203 sepanjang kandungan. Hinggakan suami dan anak-anak pun terpaksa layan filem tamil.
Masuk bulan ke-7, saya sakit pinggang dan ada kontraksi setiap 10minit. Eh dah nak bersalin ke? Baru 7bulan ni. Masa itu saya berada di kampung suami di Bagan Datoh. Kami ke Klinik Desa dan terus dikejarkan ke Hospital Teluk Intan menaiki ambulans. Di hospital pelbagai ujian dilakukan namun masih belum tahu punca kontraksi itu. Seminggu kemudian saya diberitahu darah dijangkiti kuman. Pihak hospital bekalkan antibiotik untuk dihabiskan.
Bulan ke-8, sakit gigi yang melampau. Saya nekad ke klinik gigi. Moga dapat dicabut gigi yang sakit ni, tapi doktor melarang sebab kandungan sudah 8bulan. Saya dibekalkan Ponstan yang saya makan pagi itu juga. Malamnya air ketuban pecah yang saya tak pasti disebabkan sakit gigi melampau atau Ponstan itu sendiri. Walau tidak sakit hendak bersalin saya ke Hospital Batu Gajah dan mereka hantar saya ke Hospital Ipoh. Dua hari di hospital barulah saya di 'induce' walhal ketuban saya dah lama pecah. Mungkin mereka kekurangan bilik bersalin agaknya. Induced yang ke-2 baru terasa sakit yang amat sangat. Saya dikejarkan ke bilik bersalin. Mulut tak lepas berzikir, sakit gigi dah tak terasa kerana ada yang lebih sakit. Tak sampai 1/2jam, lahirlah Adam Haziq ke muka bumi ini pada tanggal 28/4/13 jam 10.50mlm seberat 2.65kg. Mudahnya, alhamdulillah padaMu Ya Allah.
Adam Haziq dijangkiti kuman sejurus dilahirkan. Mana tidaknya lambat sangat induced. Saya tidak dapat menyusukannya, dia terpaksa di hantar ke wad. Keesokkannya saya sudah boleh keluar tapi tidak buat Adam Haziq. Dia ditahan sebab jangkitan kuman dan jaundice. Dua hari di wad kami dibenarkan pulang.
Kegembiraan hanya seketika kerana Adam Haziq kerap keluar masuk wad akibat prolong jaundice. Darah dia kerap diambil dan saat itulah aku sebak mendengar jeritan dan tangisannya. Tapi apakan daya demi kesihatannya.Namun kini Adam Haziq, 1tahun yang seberat 9.4kg sangatlah aktif. Dialah penawar hati dan cahaya buat kami. Putera yang nanti akhirnya tiba. Mak sayang Adam sangat-sangat!
Terima Kasih atas kurniaanMU.
No comments:
Post a Comment